Pihak polis masih mencari penemuan baharu berhubung kes kematian dua warga emas yang dipercayai dibunuh di Kampung Pulau Meranti, Beruas bulan lepas.

Ketua Polis Daerah Manjung, ACP Tengku Mohd Zailan Tengku Ahmad Shah berkata keadaan mayat mangsa yang hancur menyukarkan siasatan.

"Tidak pasti sama ada mereka turut dipukul. Tiada tanda-tanda ceroboh dalam rumah mereka, cuma pintu rumah terbuka sedikit semasa anak saudara mereka datang ke rumah mereka dan menjumpai mayat mereka," katanya kepada pemberita, pada Jumaat.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat agar tampil membantu siasatan.

Salamiah Yacob, 76, dan adiknya Salasiah, 71, ditemui mati di rumah mereka dalam keadaan berulat dan berbau pada 21 Sept lalu.

Mereka yang merupakan penoreh getah dipercayai sudah meninggal dunia kira-kira lima hari sebelum mayat mereka ditemui.

Dalam kes berasingan, Tengku Mohd Zailan berkata seorang lelaki ditahan di sebuah ladang kelapa sawit di Batu 15, Ayer Tawar pada Rabu lepas kerana dipercayai mencuri kabel telefon.

Dua lagi rakannya masih bebas.

Beliau berkata dalam kereta yang digunakan mereka, ditemui 124 batang kabel yang telah dipotong-potong berharga RM3,500, yang dipercayai dicuri Taman Sentosa, Ayer Tawar.