Polis sedang berusaha mengesan individu yang mencetuskan kebimbangan ramai apabila memuat naik satu mesej di laman sosial facebook yang mendakwa terdapat kluster baharu wabak COVID-19 di Kuala Kurau di sini baru-baru ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kerian DSP Roslan Mohamad berkata pihaknya tidak menerima sebarang maklumat rasmi bahawa terdapat pesakit yang positif COVID-19 di Kuala Kurau seperti yang ditularkan, dan polis memandang serius penyebaran mesej sedemikian.

"Kita harap tiada pihak yang mengambil kesempatan untuk menggusarkan masyarakat sini dengan menyamakan kes COVID-19 di Kedah, kerana ia boleh menggugat ketenteraman awam di sini," katanya dalam persidangan media di Program Pencegahan Jenayah dan Kempen Kesedaran Kawalan Penyakit Berjangkit Bersama Masyarakat India di Ladang Gula di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mesej tular oleh seorang pengguna facebook yang menggunakan nama Siti Aminah Ismail, yang mendakwa terdapat kluster baharu dari Singapura di Kampung Parit Mat Ali dan sebuah kedai di Kuala Kurau.

Sementara itu, Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Perak SAC G.S. Suresh Kumar berkata pendekatan polis dengan melaksanakan program pencegahan jenayah itu dapat mengurangkan masalah penagihan dadah dan jenayah di kawasan berkenaan.

"Pihak polis mengambil inisiatif ini untuk menyampaikan mesej mengenai keselamatan dan aspek pencegahan jenayah kepada masyarakat di kawasan yang terpencil dari bandar ini. Sebelum ini kita menerima banyak aduan mengenai dadah dan elemen jenayah namun setelah rondaan unit rondaan bermotosikal dan kereta peronda polis ditingkatkan, masalah berkenaan dapat dikurangkan," katanya.

-- BERNAMA