Polis sedang mengesan seorang wanita warga emas bagi menjadi saksi penting dalam perbicaraan kes dadah di Mahkamah Tinggi Johor Bahru pada 7 Mei ini.

Lailah Mohamad Ali, 61 tahun, yang juga warganegara Singapura kini menghilangkan diri selepas kali terakhir ditemui ketika polis menghantarnya ke Depo Imigresen Pekan Nenas, Pontian, Disember tahun lalu.

Pegawai Penyiasat Narkotik Ibu Pejabat Polis (IPD) Johor Bahru Selatan, Inspektor Mohd Shah Rizam berkata, pihaknya berharap orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan individu ini untuk tampil ke balai polis berhampiran.

“Polis memerlukan wanita ini untuk menjadi saksi perbicaraan satu kes dadah tahun lalu, di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Kita berharap wanita ini dapat tampil bagi menjadi saksi untuk perbicaraan kes pada 7 Mei ini dan ahli keluarga atau mana-mana individu yang mengenali lelaki terbabit diharapkan boleh membantu menyalurkan maklumat kepada polis.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil ke balai polis berdekatan atau hubungi saya sendiri di talian 019-3090970,” katanya.

Untuk rekod, perbicaraan tersebut adalah mengenai kes penemuan dadah jenis ganja melibatkan seorang lelaki warganegara Singapura di Larkin, Mac tahun lalu.