Polis sedang mencari waris kepada mayat lelaki yang dijumpai terapung di Sungai Melaka berhampiran kawasan River Cruise di sini pada Okt lepas.

Pegawai Penyiasat Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah, ASP Noor Zarini Ariffin berkata mayat R. Ravichandran, 44, yang alamat terakhir di C3 Rumah Pangsa Taman Bachang Permai Jalan Tun Fatimah, Batu Berendam di sini, masih belum dituntut di Hospital Melaka di sini.

"Mayat lelaki itu dijumpai terapung dalam keadaan terbalik oleh seorang pekerja pembersihan kira-kira jam 9 pagi, 11 Okt lepas, yang kemudiannya membuat panggilan kecemasan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata anggota keluarga atau waris mangsa boleh menghubungi ASP Zarini di talian 019-7731273 untuk maklumat lanjut mengenai kes tersebut.

Pada 12 Okt lepas, akhbar melaporkan mayat seorang lelaki separuh bogel ditemui terapung di Sungai Melaka berhampiran jeti Dataran Sungai Melaka di Bandar Hilir, di sini. - Bernama