Polis berjaya menggagalkan cubaan menyeludup 254 kilogram dadah jenis ketamin bernilai RM12.7 juta yang disorok dalam bungkusan teh cina dalam satu serbuan di kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Khamis lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Seri Mohmad Salleh yang memaklumkan perkara itu berkata ia adalah rampasan dadah terbesar di kargo KLIA setakat ini.

Jelasnya, pada 19 Oktober lalu, JSJN, KLIA bersama Pasukan Khas Taktikal dan Risikan Narkotik (STING), telah melancarkan serbuan di bahagian ‘airside' klia2.

Hasil pemeriksaan ke atas enam kotak membawa kepada penemuan 248 bungkusan teh mengandungi 254 kilogram dadah jenis ketamin.


Dadah yang diikrarkan sebagai pakaian itu dipercayai cuba dibawa masuk ke dalam pesawat yang akan berlepas ke Taipei, Taiwan melalui KLIA untuk pasaran di sana.

“Dia (barangan ditemui) macam seluar, pakaian tetapi apabila diperiksa inilah barang-barangnya merupakan dadah jenis ketamin dibungkus dalan bentuk teh cina.

“Yang menariknya sindiket ini menggunakan KLIA sebagai tempat untuk mereka menghantar ke Taiwan kerana pasaran dadah di Taiwan ini harga berlipat kali ganda,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah KLIA, di sini hari ini.

Beliau percaya harga pasaran dadah di Taiwan yang berlipat kali ganda melebihi harga di Malaysia membuatkan sindiket dadah menggunakan pelbagai cara bagi memperdaya pihak berkuasa.

Serbuan adalah susulan maklumat pihak berkuasa Taiwan yang berjaya merampas bungkusan mengandungi 30.5 kilogram heroin yang disorok dalam 90 unit termos haba di negara berkenaan, dipercayai dikendalikan oleh sindiket yang sama.

Menurut beliau lagi, PDRM bersama Ministry of Justice Investigation Bureau (MJIB), Taiwan sedang menjalankan siasatan terperinci bagi mengesan dalang sindiket terbabit.

Meskipun alamat pengirim barangan itu ialah di Lembah Klang, tetapi belum ada tangkapan dibuat setakat ini.

Beliau berkata, hasil kerjasama antarabangsa JSJN PDRM bersama MJIB, Taiwan sejak 2012 telah menghasilkan pelbagai kejayaan termasuk lima rampasan dadah membabitkan 73 tangkapan, masing-masing 54 warga tempatan dan 19 warga asing.

Lima rampasan itu membabitkan 1,025 kg dadah pelbagai jenis dan lebih empat juta pil pelbagai jenis bernilai lebih RM103 juta yang dipercayai boleh dibekalkan kepada 850,000 penagih.

Beliau berkata JSJN PDRM sentiasa meningkatkan jalinan kerjasama dengan pelbagai agensi penguatkuasaan merangkumi Amerika Syarikat, Australia, New Zealand, Kanada, China, Korea dan Jepun bagi memastikan kegiatan penyeludupan dan pengedaran dadah dapat dibanteras.