Polis Melaka menggalakkan orang ramai yang melancong ke negeri ini menggunakan dompet elektronik (e-dompet) dalam transaksi pembayaran sepanjang berada di Melaka, bagi mengelak mereka menjadi mangsa jenayah curi, samun atau ragut.

Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Melaka ACP Beh Eng Lai berkata, aplikasi perkhidmatan bayaran tanpa tunai itu lebih selamat dan mudah, selain kaedah tersebut kini banyak digunakan di premis perniagaan di sekitar Melaka dan seluruh negara.

"Menerusi teknologi e-dompet telefon pintar masing-masing, peluang diragut, disamun atau dicuri lebih rendah berbanding membawa wang tunai, sekali gus mengurangkan kebimbingan menjadi mangsa jenayah khususnya pelancong di negeri ini.

"Langkah pencegahan penting dan ia merupakan tanggungjawab semua pihak, dalam memastikan persekitaran komuniti selamat dan aktiviti jenayah dapat dikurangkan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Amal Menanam Anak Pokok sempena Karnival Usahawan Era Digital (KUED) 2019 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka di sini, pada Sabtu.

Pada majlis itu, IPK Melaka menerima 1,000 anak pokok daripada KUED Enterprise untuk ditanam di IPK tersebut, serta di tiga Ibu Pejabat Polis Daerah dan 36 balai polis di negeri itu.

Mengulas lanjut, Beh berkata dalam memastikan keselamatan pelancong lebih terjamin, polis pelancong turut ditempatkan di kawasan tumpuan, terutamanya di sekitar Jonker Walk dan Bandar Hilir selain mengerakkan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) dan kereta peronda polis (MPV) di kawasan terbabit.

"Seperti mana yang kita tahu, Melaka akan menerima kemasukan pelancong yang lebih tinggi pada musim cuti sekolah atau cuti umum berbanding hari biasa, dan suasana yang selamat dan kondusif perlu sentiasa diberi keutamaan oleh pihak polis," katanya.

Sementara itu, beliau berkata Polis Melaka menerima purata 10 laporan jenayah setiap minggu menerusi aplikasi 'Volunteer Smartphone Patrol' (VSP), daripada orang awam yang menyalurkan maklumat jenayah dengan merakam gambar dan video berkaitan jenayah di sekeliling mereka.

"Kita sentiasa memberi galakan kepada orang ramai menggunakan VSP, kerana segala aduan atau laporan yang diterima akan terus disalurkan ke bilik kawalan, dan sekiranya kes membabitkan kecemasan, anggota unit URB dan MPV akan digerakkan segera untuk memberikan bantuan," katanya.

-- BERNAMA