Dua pegawai polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi hadir ke pejabat Bersih 2.0 di Petaling Jaya pagi tadi.

Kehadiran mereka bertujuan mengambil keterangan Pengarah Eksekutif Bersih 2.0, Yap Swee Seng, susulan penganjuran satu perhimpunan di luar pekarangan Parlimen, Rabu lalu.

Polis turut memaklumkan bahawa tiga individu yang didakwa terbabit dalam penganjuran perhimpunan juga akan disiasat.

Tiga lagi individu itu termasuk Shahrul Aman (Pemangku Pengerusi BERSIH), Mandeep Singh Karpall (Pengerus iBERSIH) dan Amir Abd Hadi (Penyelaras Suaram).

Sementara itu, Swee Seng berkata pasukan polis hadir untuk mendapatkan keterangan mereka berhubung perhimpunan bantahan baru-baru ini.

Bagaimanapun, pihaknya akan berbuat demikian dengan diiringi notis dan peguam masing-masing.

“Pihak polis bersetuju dan satu tarikh lain akan ditetapkan kelak untuk tujuan merakam percakapan.

“Kita akan mengeluarkan satu kenyataan rasmi dalam waktu terdekat,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Jumaat.

Menurut kenyataan Jawatankuasa Pemandu BERSIH 2.0 yang dikeluarkan hari ini mengesahkan polis telah hadir ke pejabat Bersih 2.0 sekitar jam 10 pagi tadi.

Setelah memasuki pejabat Bersih, polis terus merakam kenyataan dari Swee Seng di bawah Seksyen 9 (5) Akta Perhimpunan Aman 2012 berkait himpunan aman pada 28 Mac 2018.

Namun setelah berbincang dengan pihak polis, Yap dan pasukan peguam telah bersetuju untuk hadir ke IPD Dang Wangi untuk memberikan kerjasama yang sepenuhnya pada hari dan masa yang akan ditetapkan kemudian.

Polis turut memaklumkan bahawa Shahrul Aman, Mandeep dan Amir turut disiasat dibawah akta yang sama.