Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Audit Negara akan mengenal pasti ketulenan dokumen yang didakwa mengandungi kandungan laporan Ketua Audit Negara, mengenai 1Malaysia Development Bhd (1MDB), yang disiarkan oleh Sarawak Report, kata Tan Sri Khalid Abu Bakar hari ini.

Ketua Polis Negara itu berkata polis akan berbincang dengan Ketua Audit Negara bagi memastikan sama ada benar atau tidak dokumen itu yang terdapat dalam Laporan Audit Negara dan diklasifikasikan sebagai rahsia.

"Jika benar, kita akan siasat di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA). Jadi bertenang semua dahulu, biar kita sahkan sama ada dokumen itu benar-benar daripada Laporan Audit Negara," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Timbalan Perdana Menteri di Sri Satria di sini.

Khalid pada sidang media itu turut mempertikaikan kesahihan laporan Sarawak Report, laman web yang berpangkalan di London, yang dilihat sengaja mencetuskan kacau-bilau di negara ini.

"Sarawak Report ini bukan boleh harap pun, jangan percaya sangat. Berapa kali Sarawak Report sudah buat kenyataan yang tidak betul? Sarawak Report sengaja nak buat kucar-kacir dalam negara ini.

"Orang macam inilah (Sarawak Report) suka buat fitnah. Dia duduk jauh, dia buatlah macam-macam fitnah. Dia tahu kita tidak boleh panggil dia. Jadi, kita berhati-hati sedikit baca laporan atas talian ini, terutama Sarawak Report," tambahnya.

Sebelum ini, portal berita Malaysiakini melaporkan bahawa Sarawak Report menyiarkan sebahagian kandungan laporan Ketua Audit Negara mengenai 1MDB.