Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tidak mahu pihak polis berkompromi dengan mana-mana penjenayah apatah lagi penyeludup yang membawa masuk barangan terlarang seperti senjata api.

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri pada masa sama mengarahkan ketua polis negara, timbalannya dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman supaya bertegas dalam soal itu.

“Untuk makluman, saya telah mengarahkan ketua polis negara, timbalannya dan pengarah jabatan siasatan jenayah jangan berkompromi dengan mana-mana penjenayah apatah lagi penyeludup ini,” katanya.

Ahmad zahid berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Ketua Polis Kelantan, Datuk Hassanuddin Hassan semalam yang memaklumkan kes penyeludupan senjata api melalui pengkalan haram di sempadan Malaysia-Thailand, terutama di Rantau Panjang serius.

Dalam tempoh hampir tiga bulan tahun ini sejumlah sembilan pucuk pistol jenis separa automatik dan dua pucuk pistol angin berjaya dirampas oleh Polis Kontinjen Kelantan dalam pelbagai serbuan dan tangkapan.

Senjata api berkenaan dibawa masuk melalui pengkalan haram di Rantau Panjang untuk tujuan kegunaan penjenayah yang terlibat dalam aktiviti dadah serta untuk disewa.