Polis Kontinjen Johor akan melakukan pemantauan di kawasan luar sekolah di negeri ini, pada Selasa, dalam memastikan permulaan persekolahan bagi tahun 2019 berjalan lancar.

Ketua Polis Johor Datuk Mohd Khalil Kader Mohd berkata polis beruniform yang melibatkan Unit Kereta Peronda (MPV), Unit Rondaan Bermotosikal (URB) dan trafik akan memantau di luar sekolah manakala Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) pula akan berada di sekolah yang dipertanggungjawabkan masing-masing.

"Polis Kontinjen Johor berhasrat agar semua aktiviti kemasukan sekolah bagi tahun 2019 mulai esok berjalan dengan lancar tanpa sebarang insiden.

"Semua pemandu yang melaksanakan tanggungjawab menghantar anak-anak ke sekolah hendaklah mematuhi peraturan lalu lintas dan tidak melakukan sebarang halangan yang boleh menyebabkan kesesakan," katanya menerusi kenyataan di sini pada Isnin.

Mohd Khalil berkata semua pihak perlu memberi keutamaan kepada pelajar yang berjalan kaki.

"Persekitaran sekolah yang selamat dan bebas insiden adalah keutamaan Polis Kontinjen Johor.

"Pendekatan ini melibatkan 1,311 buah sekolah di negeri ini, 1,311 PPS dan 1,008 anggota polis dari unit MPV, URB dan trafik," katanya.

--BERNAMA