Sebanyak enam laporan polis mengenai berita palsu berhubung jangkitan COVID-19 diterima di negeri ini sejak Januari lalu, kata Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay.

Bagaimanapun, katanya belum ada tangkapan dilakukan sepanjang tempoh berkenaan.

"Polis masih menunggu laporan lengkap Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) kerana kes itu melibatkan siasatan forensik berikutan penggunaan akaun palsu dan akaun yang tidak lagi wujud," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Ayob Khan berkata, daripada enam kertas siasatan yang dibuka, empat kes disiasat mengikut Seksyen 505 dan Seksyen 203 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Menurutnya, dua lagi kes disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih satu tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Ayob Khan berkata, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri menerima 5,388 laporan polis bagi tempoh awal Januari sehingga 7 Mac lalu, menunjukkan penurunan berbanding 5,847 laporan bagi tempoh sama tahun lepas.

Daripada jumlah itu, katanya sebanyak 702 kertas siasatan dibuka.

"Kes penipuan menjadi penyumbang utama kes jenayah komersial bagi tempoh berkenaan iaitu sebanyak 581 kes, antaranya membabitkan pinjaman tidak wujud iaitu sebanyak 149 kes, diikuti 130 kes penipuan menerusi internet dan 70 kes Macau Scam," katanya. -BERNAMA