KOTA BHARU:Polis Kelantan mempertimbangkan untuk mengambil tindakan drastik mengeluarkan arahan menutup operasi kedai emas di negeri itu pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) berterusan.

Ketua Polis Kelantan, Deputi Komisioner Shafien Mamat berkata, tindakan tegas itu boleh diambil kerana masih terdapat pemilik premis mengambil ringan arahan berkaitan SOP terutama membabitkan penyediaan alat pemeriksaan suhu, cecair pensanitasi tangan serta pematuhan jarak fizikal.

"Sehingga sekarang ni kita belum lagi mengambil tindakan tutup premis. Saya akan bersama-sama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) memantau perkembangan hari ini.

"Jika masih ada lagi premis yang tidak patuh, besar kemungkinan kita akan mengambil tindakan yang lebih berat... Kalau (masih) tak ikut (SOP), kita bersama PBT akan tutup (keluarkan arahan tutup premis).

"Jadi nasihat saya kepada kepada pemilik, kalau mereka buat peraturan betul-betul, sediakan garisan, susun kerusi (ikut penjarakan fizikal), pelanggan akan patuh.

"Tapi (masalahnya), tiada apa-apa yang dilakukan pemilik premis. Sebab itu pelanggan datang berebut-rebut," katanya pada sidang media di sini.

Semalam tular di media sosial gambar kedai emas di Kota Bharu diserbu orang ramai berikutan harga emas yang rendah sejak minggu lalu, sehingga menyaksikan kebanyakan mereka gagal mematuhi SOP.

Sejak semalam, katanya sebanyak 23 kompaun dikeluarkan terhadap pemilik kedai emas dan para pelanggan kerana gagal mematuhi SOP PKPB.

Mengulas lanjut, Shafien berkata, pemantauan terhadap pematuhan SOP di semua premis perniagaan termasuk kedai emas akan dipertingkatkan dari semasa ke semasa.

Terdahulu, Shafien merasmikan program derma darah peringkat Ibu Pejabat Kontinjen Kelantan di sini, hari ini.