KOTA BHARU: Polis Kelantan mengeluarkan lima saman trafik terhadap pelajar dan juga pemilik motosikal yang terlibat dalam kes membabitkan contengan perkataan kesat terhadap guru pada uniform sekolah baru-baru ini.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata pihaknya sudah menerima laporan berhubung tindakan pelajar berkenaan dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.

"Tular dalam media sosial ada pelajar pakai t-shirt naik motosikal.

"Kita terima satu laporan polis dan siasatan sudah dijalankan mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil.

"Jadi dua-dua terlibat dah ambil statement dan tindakan awal lima saman kesalahan trafik telah dikeluarkan dan kita tunggu pendakwaraya," kata Shafien.

Beliau juga menyifatkan tindakan pelajar yang menulis perkataan mencarut pada gurunya itu sebagai satu tindakan biadab.

"Nasihat saya kepada pelajar menengah, jangan menunjukkan sikap biadab.

"Remaja tak sepatutnya bersikap demikian," kata Shafien lagi.

Beliau berkata demikian selepas meninjau pematuhan prosedur operasi standard (SOP) pelajar sekolah rendah dalam perintah kawalan pergerakan bersyarat, di sini, pagi tadi.

Sebelum ini, tular gambar dua pelajar sekolah menengah yang tidak memakai topi keledar dengan pemboncengnya mengenakan pakaian seragam sekolah tertulis perkataan kesat terhadap guru.

Mengulas mengenai pematuhan SOP pencegahan covid19 pelajar sekolah, Shafien berkata pihaknya berpuas hati dengan tahap pematuhan pelajar sepanjang berada di sekolah.

Polis juga memantau pelajar sekolah selepas sesi persekolahan melalui unit rondaan bermotor dan kereta peronda.