Polis tidak menolak kemungkinan akan menahan beberapa lagi individu bagi melengkapkan siasatan berhubung insiden kekecohan di forum 'Nothing to Hide 2.0' di Dewan Raja Muda Musa di Seksyen 7 di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Shafien Mamat ketika dihubungi berkata, buat masa ini pihaknya sedang meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) serta video yang dimuat naik di laman sosial bagi mengenal pasti beberapa lagi individu yang dipercayai terbabit dalam insiden berkenaan.

"Setakat ini, tiga remaja lelaki telah direman empat hari sehingga 17 Ogos ini untuk siasatan...seorang daripada mereka yang berumur 17 tahun merupakan pekerja di sebuah kedai cuci kereta di Kangar, Perlis manakala dua lagi remaja masing-masing berumur 18 dan 19 tahun, merupakan pelajar kolej di Kuala Lumpur dan Seksyen 8 di sini.

"Mengikut rekod juga, remaja yang berumur 18 tahun itu mempunyai satu kes jenayah yang mana kesnya masih dalam perbicaraan," katanya.

Beliau berkata tiga remaja itu kini disiasat mengikut Seksyen 15 (2) (d) Akta Perhimpunan Aman 2012, Seksyen 153 Kanun Keseksaan kerana melakukan provokasi dengan niat menyebabkan rusuhan serta Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.

Katanya, polis juga telah merakamkan keterangan penganjur forum tersebut selepas mereka hadir membuat laporan polis berhubung insiden tersebut dan mereka berkemungkinan akan dipanggil semula untuk siasatan lanjut.

Dalam kejadian kira-kira 5.10 petang itu, forum anjuran Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu bertukar kecoh apabila dicemari insiden balingan suar, kerusi, kasut dan botol air daripada beberapa individu yang hadir di forum berkenaan.

--BERNAMA