Polis Labuan membongkar aktiviti barter membabitkan barangan samun dan dadah selepas menangkap dua lelaki yang merompak sebuah tabika Kemas bulan lepas.

Ketua Polis Labuan Supt Adzhar Othman berkata susulan penangkapan dua lelaki berusia 29 dan 25 tahun itu pada 28 Sept, polis berjaya memberkas seorang wanita yang dipercayai bersubahat dalam penjualan dadah kepada dua lelaki terbabit.

Polis kini memburu suami wanita itu yang dipercayai membekalkan dadah kepada dua lelaki berkenaan, katanya kepada Bernama hari ini.

Mengulas kes itu, Adzhar berkata dua lelaki terbabit menyamun tabika Kemas di Kampung Sungai Bedaun dan melarikan barangan elektrik dari premis itu pada 17 Sept lalu.

Barangan terbabit kemudian ditukar dengan dadah, katanya.

Menurut Adzhar, dua lelaki berkenaan dipercayai turut terbabit dalam beberapa kegiatan pecah rumah sebelum menyamun tabika berkenaan.

Kes pecah rumah di Labuan semakin membimbangkan dan polis menyenaraikan jenayah ini sebagai antara kes utama, katanya.

Beliau juga berkata ketiga-tiga individu terbabit sudah didakwa hari ini.