Polis menahan 28 individu termasuk tujuh daripada mereka disyaki pengedar dadah dan merampas kira-kira tiga kilogram dadah disyaki heroin dan syabu bernilai RM121,800 dalam operasi tiga hari yang berakhir pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Supt Mohd Iqbal Ibrahim berkata salah seorang daripada suspek yang ditangkap itu dipercayai 'pengedar besar' di pulau ini apabila sejumlah 2.4kg bahan disyaki heroin berjaya dirampas daripadanya.

"Lelaki berumur 46 tahun ini mempunyai rekod jenayah lampau dan pernah dipenjarakan sebelum ini kerana kesalahan memiliki dadah," katanya kepada pemberita di sini.

Menurutnya, wang tunai berjumlah RM5,250 dipercayai hasil jualan dadah turut dirampas daripada suspek yang ditangkap awal pagi Rabu di hadapan rumahnya di Taman Desa Kemboja di sini.

Suspek kini ditahan polis untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori.

Sementara itu enam lagi suspek yang turut diberkas untuk siasatan di bawah seksyen yang sama melibatkan lima lelaki dan seorang wanita, selain rampasan 523 gram heroin, 0.23 gram syabu dan wang tunai RM500.

Dalam operasi yang diketuai Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Langkawi, ASP Lali Mohamed Tamin itu, seramai 21 lagi suspek ditahan kerana pelbagai kesalahan lain di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952.

Antara lokasi yang diserbu ialah Bukit Malut, Taman Nilam, Padang Matsirat dan Taman Desa Kemboja.

-- BERNAMA