Cubaan empat lelaki termasuk tiga warga Indonesia untuk menyeludup keluar 3,304 ekor burung murai kampung, gagal selepas mereka ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua, Melaka.

Kesemua mereka yang berusia antara 43 hingga 66 tahun itu ditahan di dalam dua bot berasingan kira-kira jam 1.45 pagi Sabtu, selepas pihak PPM menerima maklumat dari Sistem Pengawasan Maritim Laut Malaysia (SWASLA) Lumut.

Timbalan Komander PPM Wilayah Dua, Superintendan Noor Azman Jamal dalam kenyataannya berkata, hasil pemeriksaan dijalankan keatas bot terbabit kemudian menjumpai 188 raga berisi burung murai yang nilainya dianggarkan berjumlah RM500,000.

 Polis Marin gagalkan cubaan seludup burung murai bernilai RM500,000

Burung murai berkenaan dipercayai diseludup keluar untuk dihantar ke Pulau Lupat, Indonesia.

Beliau berkata, kedua-dua bot terbabit ditahan oleh anggota bot ronda PSC 30 dan PSC 37 di kawasan perairan pulau besar.

Kesemua mereka kemudian dibawa balik ke Markas Tektikal PPM Wilayah Dua untuk proses dokumentasi serta siasatan lanjut.

Tambah Noor Azman, dua buah bot gentian kaca serta tiga unit enjin sangkut digunakan suspek yang bernilai keseluruhan RM137,000 turut dirampas.

Kes disiasat mengikut Seksyen 13B Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Maqis) dan Akta Imigresen 1959/63.