Pasukan Polis Marin (PPM) Kota Kinabalu menahan dua lelaki dan merampas pelbagai barangan yang dipercayai digunakan untuk membuat bom ikan, di sini semalam.

Komander PPM Wilayah Empat ACP Mohamad Madun berkata hasil maklumat daripada orang awam pihaknya menahan seorang lelaki berusia 39 tahun di Jeti Penambang di sini, kira-kira pukul 9.45 pagi Selasa.

"Ketika ditahan lelaki berkenaan berada di dalam sebuah kereta yang apabila diperiksa terdapat empat karung guni berisi baja Ammonia Nitrat, 100 unit detonator, dan lapan gulung sumbu yang dipercayai digunakan untuk membuat bom ikan," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata hasil siasatan terhadap suspek, pihaknya telah menahan seorang lelaki warga Brunei berusia 22 tahun, di hadapan sebuah hotel di sini, beberapa jam selepas suspek pertama ditahan.

"Turut dirampas bersama suspek berkenaan dua bungkus sodium cyanide yang juga dipercayai salah satu bahan yang digunakan untuk membuat bom ikan," katanya.

Mohamad berkata, hasil siasatan lanjut terhadap kedua-dua suspak itu mendapati barangan yang dipercayai untuk membuat bom ikan itu akan dibawa ke Brunei dan akan digunakan untuk menjalankan aktiviti mengebom ikan di perairan negara berkenaan serta di sempadan Sarawak.

Beliau berkata kedua-dua suspek itu kemudiannya dibawa pangkalan PPM Kota Kinabalu dan kes disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.