Pasukan Polis Marin (PPM) berjaya menumpaskan penyeludupan 435,000 rokok tiruan bernilai RM4.4 juta termasuk termasuk duti import dalam Op Gelora Khas di muara Sungai Sekawang, Port Dickson, Negeri Sembilan pada Khamis.

Komander Pasukan Polis Marin Bukit Aman Datuk Abdul Rahim Abdullah berkata, tiga buah lori bernilai RM500,000 yang digunakan untuk mengangkut pelbagai rokok tiruan berkenaan turut dirampas dalam serbuan kira-kira 9 malam itu.

Beliau berkata rampasan terbesar pada tahun ini berjaya dilakukan selepas pemantauan hampir dua jam dilaksanakan di sungai berkenaan yang merupakan salah satu lokasi pemunggahan rokok haram di perairan negara.

"Sebelum serbuan dilakukan, terdapat sekumpulan individu antara tujuh hingga 10 orang sedang melakukan aktiviti pemunggahan rokok dari dua bot pancung ke dalam tiga lori.

"Apabila menyedari kehadiran anggota polis marin dari Bukit Aman, Kuala Linggi dan Johor, anggota kumpulan sindiket tersebut yang berada di darat melarikan diri ke kawasan hutan berhampiran dan meninggalkan rokok dan lori berkenaan," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Komander PPM Bukit Aman Risikan Operasi ACP Hasan Basri Ahmad Safar, Komander PPM Wilayah 2 Johor ACP Paul Khiu Khon Chiang, dan Ketua Bahagian Risik Operasi PPM Wilayah 2 Johor DSP Rohizan Mohamad Saaid.

Mengulas lanjut, Abdul Rahim berkata anggota sindiket yang berada di atas dua bot pancung berkenaan turut melarikan diri ke arah perairan Indonesia sebelum salah satu bot berkenaan melanggar sebuah bot ronda RH5 sehingga mengakibatkan salah seorang anggota polis marin berusia lingkungan 20-an cedera di muka.

Beliau berkata rokok tiruan yang terdiri daripada pelbagai jenama termasuk John White, Canyon Merah, John British dan U21 Merah itu dipercayai diseludup dari negara jiran untuk jualan bagi pasaran Melaka, Johor, Negeri Sembilan dan Lembah Klang.

Katanya pihaknya kini sedang bekerjasama dengan Jabatan Pengangkutan Jalan dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia bagi mengenal pasti pemilik lori yang digunakan dalam aktiviti pemunggahan rokok tiruan tersebut bagi membantu siasatan lanjut.

"Siasatan lanjut sedang dilakukan dalam pelbagai aspek kerana kita khuatir ia ada bersangkut paut dengan sindiket atau kegiatan lain seperti penyeludupan manusia dan sebagainya," katanya.

Beliau berkata sindiket berkenaan dipercayai telah aktif dalam tempoh yang lama dan berkemungkinan mempunyai rangkaian atau kolaborasi dengan kumpulan sindiket yang lain.

-- BERNAMA