Polis masih memburu suspek yang memijak gambar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semasa perhimpunan Bersih 4 hujung minggu lalu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat agar tampil membantu siasatan kes berkenaan.

"Kita seru orang ramai untuk membantu kita. Ini budaya-budaya yang dipromosi Bersih. Ini bukan budaya orang Melayu, orang Malaysia. Pijak-memijak gambar pemimpin, sapu dengan penyapu ini budaya mana ni?,"

"Saya dimaklumkan bahawa pihak Bersih ada pasukan yang akan pastikan tertib tingkah laku tetapi video dikeluarkan ada pijak gambar pemimpin, sapu dengan penyapu, Budaya mana ni?" katanya semasa sidang media selepas perasmian Majlis Sambutan Peringatan Hari Pasukan Polis Marin ke-68 di Markas Operasi Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 1, di Pelabuhan Klang hari ini.

Sebelum ini, gambar individu yang menyertai perhimpunan Bersih 4.0 baru-baru ini menjadi viral di laman sosial.

Ia menunjukkan aksi dua wanita memijak gambar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Presiden Pas, Datuk Seri Hadi Awang.


Dalam pada itu tegasnya, Bersih perlu bertanggungjawab ke atas sebarang tindakan pesertanya yang sengaja mahu mewujudkan ketidaktenteraman negara.

"Adakah budaya ini Bersih nak tunjukkan kepada anak muda kita. Adakah ini budaya mereka nak bawa masa hadapan. Saya ingin ingatkan supaya jangan tiup api perkauman dalam tindak-tanduk mereka kerana tindakan sebegini boleh meniup api perkauman dan menaikkan kemarahan api kaum lain.

Inilah perkara perlu dielakkan. Jadi kita rasa Bersih perlu bertanggungjawab atas tindakan peserta mereka sengaja tiup api perkauman, " tegas beliau.

Justeru beliau melihat perhimpunan Bersih 4.0 pada awal lagi tidak patut diadakan memandangkan
penganjurnya tidak mampu untuk mengawal peserta yang bertindak keterlaluan.

"Sebab itu kita tidak mahu perhimpunan seumpama ini berlaku , perhimpunan jalanan kalau buat tertutup kita boleh kawal dan pastikan perkara sebegini tak berlaku," tambahnya.