Polis Melaka sedang menyiasat secara telita kes seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun yang mendakwa dirogol kanak-kanak lelaki yang baharu berusia tujuh tahun dalam satu kejadian di Bukit Beruang, Melaka.

Timbalan Ketua Polis Melaka, Datuk Ruslan Hassan berkata, pihak polis mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu pada 20 Julai lalu sekitar 9.45 malam.

Beliau berkata, laporan itu dibuat ibu mangsa yang merupakan seorang ibu tunggal selepas anak perempuannya mengadu sakit pada bahagian kemaluan setelah pulang dari rumah pengasuhnya di sekitar Bukit beruang.

Mangsa juga mengadu kepada ibunya merasa kesakitan pada kemaluannya selepas dilakukan oleh kanak-kanak lelaki terbabit yang juga anak pengasuhnya.

Bagaimanapun jelas Ruslan, siasatan lanjut berhubung kejadian itu masih berjalan dan perlu disiasat secara lebih terperinci kerana ianya melibatkan dua kanak-kanak.

“Saya boleh mengesahkan bahawa polis ada menerima laporan satu berita keluar dalam akhbar.

“DNA kita sudah ambil, tetapi kami tidak menahan ‘suspek’ berumur 7 tahun. Kita pun telah memanggil ibu mangsa dan petang ini kita akan berjumpa dengan keluarga ‘suspek’.

“Dalam kes ini, kita perlu melihat beberapa seksyen di bawah undang-undang termasuk Akta Keterangan Kanun Keseksaan yang dinyatakan jelas bawah Akta 82 dan 83 Kanun Keseksaan,” katanya ketika ditemui Astro AWANI di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka hari ini.

Ruslan berkata kes kini disiasat mengikut Seksyen 82 Dan 83 Akta Kesalahan Seksual Kanak-Kanak.

Dalam pada itu difahamkan, mangsa yang sememangnya menetap di rumah pengasuhnya selepas pulang dari sekolah tadika pada setiap hari itu turut mendakwa, suspek berusia tujuh tahun tersebut juga memasukkan jarinya pada bahagian sulitnya.

Ibu mangsa yang mendapati terdapat kesan merah pada kemaluan anaknya itu terus membawa kanak-kanak perempuan itu ke hospital Melaka untuk menerima rawatan.