Pihak polis meminta bantuan orang ramai untuk mengesan ahli keluarga atau waris setelah mayat seorang lelaki tanpa identiti ditemui terapung di lombong bersebelahan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Intan Baiduri, Jinjang pada 19 Februari lepas.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner R. Munusamy dalam satu kenyataan berkata polis tidak menemukan sebarang pengenalan diri namun lelaki berkenaan dalam lingkungan 30 hingga 40 tahun.

Selain itu, mangsa juga mempunyai tatu lipan di paha kanannya selain memakai baju T berlogo Carlsberg dan memakai seluar panjang berwarna hijau.

Tatu lipan yang terdapat pada paha kanan mangsa. - Foto PDRM

“Bedah siasat telah dilakukan di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Kuala Lumpur dan sebab kematian diberikan sebagai ‘consistent with immersion’ (mati lemas).

“Mayat mangsa belum dituntut di Jabatan Perubatan Foresnik Hospital Kuala Lumpur,” katanya dalam kenyataan itu.

Beliau meminta orang ramai yang mengenali mangsa atau mempunyai maklumat lanjut untuk menghubungi Sarjan Low Leong Choo di Balai Polis Jinjang di talian 03-6257 2222.