Pihak sekolah diminta agar tidak menyembunyikan fakta mengenai pelajar mereka yang bermasalah terutama yang dipercayai terlibat dalam aktiviti buli dan gengsterisme.

Ketua Polis Johor Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd berkata dengan cara itu, pihak sekolah secara langsung dapat membantu pihak polis dalam usaha mencegah pelajar daripada terjerumus ke dalam aktiviti jenayah lebih serius.

"Pihak sekolah boleh beri nama kepada kita dan kita akan panggil pelajar-pelajar ini untuk di beri khidmat kaunseling terlebih dahulu.

"Pihak sekolah pastinya sudah kenal pasti mereka yang dipercayai terlibat dengan aktiviti tidak sihat. Jangan sampai mereka sembunyikan fakta pelajar," kata beliau kepada pemberita di Pusat Media, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas mengenai dua kes pukul minggu ini yang melibatkan pelajar sekolah menengah yang satu kes dipercayai berlaku bila suspek memaksa mangsanya menjadi ahli kumpulan geng.

"Ada kemungkinan pelajar-pelajar ini dipaksa oleh orang luar untuk berbuat demikian (memaksa pelajar lain jadi ahli kumpulan geng).

"Kita kena buat habis-habisan (dalam mencegah). Pelajar-pelajar ini masih muda dan merupakan aset negara pada masa hadapan," kata Wan Ahmad Najmuddin.

Sementara itu, beliau berkata pihaknya berjaya menangkap ahli kumpulan samun 'Geng Budin' yang menyamun secara berkumpulan menggunakan senjata api.

Beliau berkata empat lelaki tempatan yang dipercayai terlibat telah ditahan di beberapa lokasi sekitar Johor Bahru semalam.

Menurutnya, keempat suspek berkenaan yang berusia antara 21 dan 32 tahun telah mengaku melakukan enam kes samun di kawasan Seri Alam dan Johor Bahru Selatan.

"Mereka ini menyamun di hotel bajet dan premis perniagaan 24 jam dan dipercayai telah bergerak aktif selama tiga bulan," katanya.

Wan Ahmad Najmuddin juga berkata kesemua mereka mempunyai lebih kurang 25 rekod kes lampau pelbagai kesalahan jenayah manakala dua daripada mereka berada dalam senarai dikehendaki polis berkaitan kes dadah.

"Kesemua mereka juga positif dadah jenis Methamphetamine dan saya percaya mereka melakukan jenayah ketika di bawah pengaruh dadah menyebabkan mereka lebih berani ketika melakukan samun," kata beliau.

Turut dirampas sepucuk pistol semi automatik jenis CZ dan satu kelopak bersama tiga butir peluru hidup jenis 9 milimiter.

Kesemua suspek akan dipohon reman hari ini.

Kes itu akan disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Senjatapi Penalti Lebih Berat 1971 atas pemilikan pistol, Seksyen 8 (a) Akta Senjata 1960 kerana memiliki peluru hidup dan Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun berkumpulan.

Kesemua suspek itu juga disiasat di bawah Akta Pencegahan Jenayah (POCA).

-- BERNAMA