Polis meminta mana-mana pihak yang mempunyai maklumat atau mengetahui punca kejadian sehingga menyebabkan kematian bayi berumur lima bulan, Adam Rayqal Mohd Sufi segera tampil bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Selangor Datuk Mazlan Mansor berkata buat masa ini, siasatan lanjut masih dijalankan namun pelbagai cerita tersebar termasuk Adam Rayqal dikatakan 'digoncang' sebelum dihentak di kepala oleh suspek yang juga pengasuhnya belum dipastikan kesahihannya oleh polis.

Justeru, beliau berkata satu lagi pasangan yang turut menghantar dua anak mereka untuk diasuh oleh suspek wanita itu akan dipanggil memberi keterangan bagi membantu siasatan dalam masa terdekat.

"Apa saja keterangan kita akan nilai. Difahamkan, Adam Rayqal dihantar ke rumah pengasuhnya sekitar pukul 12.30 tengah hari (Selasa) dalam keadaan sihat dan daripada situ, kita akan kumpul apa saja keterangan sehinggalah bayi itu ditemui mati.

"Kita akan tengok laporan rasmi perubatan oleh Jabatan Forensik Hospital Kuala Lumpur yang akan dikeluarkan dalam masa terdekat untuk siasatan lanjut," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Utara di sini, hari ini.

Turut hadir pada majlis berkenaan adalah Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Ab Rashid Ab Wahab, Ketua Polis Daerah Klang Utara ACP Mazelan Paijan dan ketua-ketua polis daerah.

Mazlan berkata pemeriksaan polis mendapati suspek, 33, dan rakan serumahnya berumur 36 tahun yang bekerja sebagai pegawai bank tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.

BACA: Sebak, ibu mahu pangku Adam Rayqal dan enggan naik ambulans

BACA: Bayi 'diculik' dijumpai mati dalam peti sejuk pengasuh


Pada Selasa lepas, Adam Rayqal dilaporkan hilang dari rumah pengasuhnya di Kampung Nakhoda, Batu Caves dekat sini sebelum mayatnya ditemukan oleh anggota polis dalam bahagian sejuk beku peti ais di rumah sama lewat malam hari kejadian.

Susulan itu, pengasuhnya dan seorang lagi wanita ditahan pada hari sama dan direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan kes kematian bayi berkenaan.

Hasil bedah siasat pakar forensik Hospital Kuala Lumpur mendapati punca kematian Adam Rayqal adalah akibat pendarahan dalaman di bahagian otak dan kesan retak di bahagian tempurung kepala.

BACA: Meruntun hati! Netizen sayu lihat tangisan ibu Adam Rayqal

BACA: 'Insya-Allah, Adam Rayqal tunggu kami di syurga' - Bapa


-- BERNAMA