Polis Muar berjaya tumpaskan sindiket pengedaran dadah dengan rampasan 25.5 kilogram cecair disyaki syabu, bernilai lebih RM1.7 juta di sebuah rumah di Bakri, semalam.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisional Zaharudin Rasip memaklumkan, dalam serbuan itu, pihaknya turut menahan tiga lelaki tempatan berusia lingkungan 35 ke 43 tahun.

Menurut Zaharudin, cecair disyaki syabu itu ditemukan disimpan di dalam dua buah baldi dalam bilik di kediaman berkenaan.

Ketiga-tiga suspek pada awalnya enggan memberi kerjasama menyebabkan polis terpaksa memecahkan mangga pintu tersebut.

Polis turut menemui beberapa jenis dadah lain termasuk heroin dengan berat 0.86 gram, syabu seberat 77.17 gram, 16 biji Eramin 5 serta wang tunai RM250.

Turut dirampas, sebuah kereta jenis BMW bernilai kira-kira RM80,000.

Menurut Zaharudin, buat masa ini pihaknya sedang menyiasat tujuan tiga suspek itu menyimpan bekalan cecair disyaki syabu, dan sumber mereka memperolehinya.

Ketiga-tiga suspek yang positif dadah jenis methamphetamine, direman sehingga 19 Februari.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya, yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.