Polis Diraja Malaysia berkemungkinan akan memanggil isteri bekas Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor bagi mengambil keterangan melibatkan pelbagai kes, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun.

"Mungkin kita akan panggil beliau (Rosmah) bagi membantu siasatan melibatkan pelbagai isu antaranya 1MDB (1Malaysia Development Berhad)," katanya selepas menghadiri Program Lawatan Hospital sempena Peringatan Hari Polis Ke-211 di Hospital Putrajaya di sini, hari ini.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata notis merah terhadap ahli perniagaan Low Taek Jho atau Jho Low dan bapanya Tan Sri (Larry) Low Hock Peng sudah mula disiarkan sejak semalam.

"Kita tengah tunggu maklum balas daripada peringkat antarabangsa, kalau ada perkembangan kedudukan mereka dan sebagainya kita akan ambil tindakan," katanya.

Media sebelum ini melaporkan notis merah terhadap Jho Low tidak dipamer di laman sesawang umum badan penguatkuasa itu adalah kerana wujud arahan supaya mereka tidak berbuat begitu.

Dalam pada itu, Mohamad Fuzi berkata kertas siasatan terhadap bekas Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Datuk Seri Arul Kanda Kandasamy akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.

Pada 26 Sept lepas, media melaporkan Arul Kanda dipanggil memberi keterangan berhubung kandungan ceramahnya mengenai syarikat itu sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Mei lalu.

Terdahulu Mohamad Fuzi dan Pemangku Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (Perkep) Puan Sri Shahriza Saad menyerahkan sumbangan berjumlah RM6,000 kepada Pengarah Hospital Putrajaya Datuk Dr Nora'i Mohd Said bagi kegunaan Tabung Kebajikan Perubatan Malaysia.