Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador menafikan sekeras-kerasnya dakwaan Majlis Pimpinan Keadilan Rakyat Negeri Perak terhadap Pengerusinya, Farhash Wafa Salvador yang dikatakan tidak diberi makan dalam tempoh 24 jam ketika di bawah tahanan reman.

"Itu semua dakwaan yang tak betul la, saya tolak sekeras-kerasnya", katanya dalam sidang media di Kementerian Pertahanan, di sini pada Khamis.

Farhash ditahan reman selama empat hari bagi membantu siasatan berhubung siasatan video intim bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Santubong, Haziq Abdullah Abdul Aziz dengan seorang lelaki mirip seorang menteri kanan.

Dalam perkembangan sama, Hamid turut menegaskan tiada sebarang campur tangan politik berhubung siasatan video intim berkenaan dan siasatan dijalankan mengikut prosedur operasi standard.

"Ingin saya jelaskan bahawa siasatan ini tidak melibatkan sebarang campur tangan dari mana-mana pihak dan tiada tekanan yang diberikan kepada saya.

"Kita bebas menjalankan siasatan berhubung video berkenaan mengikut prosedur operasi standard yang telah ditetapkan," katanya lagi.

Menyentuh mengenai ketulenan video intim berkenaan pula, Abdul Hamid berkata, satu kenyataan akan dikeluarkan dalam masa terdekat.

Abdul Hamid sebelum itu hadir ke Markas Angkatan Tentera Malaysia, Wisma Pertahanan sempena kunjungan rasmi yang pertamanya pada Khamis.