GEORGE TOWN:Polis Pulau Pinang hari ini menafikan mengeluarkan amaran menghalang bekas Ketua Menteri Lim Guan Eng daripada menaiki perkhidmatan feri yang tidak lagi akan membawa kenderaan empat roda bermula esok.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Sahabudin Abd Manan berkata baik beliau sendiri mahupun mana-mana pegawai kanan termasuk ketua polis daerah di negeri itu tidak pernah berbuat demikian kepada sesiapapun.

"Saya tidak mahu mengulas lanjut cuma saya nak maklumkan tiada sebarang amaran atau arahan tidak membenarkan beliau (Lim) menaiki feri hari ini seperti didakwanya," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Lim yang juga Ahli Parlimen Bagan dalam kenyataan menerusi laman Facebooknya semalam mendakwa polis Pulau Pinang telah mengeluarkan amaran terhadapnya yang mahu mengambil perjalanan feri Pulau Pinang pada 10 pagi hari Khamis (hari ini).

BACA: Feri ikonik: Hari penuh emosi buat penduduk Pulau Pinang - Guan Eng

Katanya beliau hairan dengan tindakan polis itu kerana pihaknya hanya mahu mengucapkan selamat tinggal buat kali terakhir kepada perkhidmatan ikon Pulau Pinang tersebut dengan menaiki feri berkenaan buat kali terakhir hari ini.

Terdahulu, Lim bersama kira-kira 100 penyokongnya menaiki feri dari teminal Pangkalan Raja Uda di sini ke Pangkalan Sultan Abdul Halim di Butterworth.

-- BERNAMA