Polis Negeri Sembilan tumpas sindiket 'Love Scam', 15 warga Afrika ditahan

Polis Negeri Sembilan tumpas sindiket 'Love Scam', 15 warga Afrika ditahan
Datuk Mohamad Mat Yusop (tiga, kiri) bersama pegawainya menunjukan rampasan barangan dari warga asing yang terlibat dalam jenayah Love Scam pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Seremban hari ini. - Bernama
SEREMBAN: Menggunakan taktik 'tawaran bekerja' sebagai modus operandi, sindiket Love Scam yang telah bergiat aktif sejak 2017 melibatkan nilai kerugian sebanyak RM1.55 juta, akhirnya ditumpaskan polis Negeri Sembilan.

Seramai 15 warga Afrika termasuk dua wanita berusia 25 hingga 43 tahun turut diberkas dalam serbuan yang dijalankan pada 2 Julai hingga 7 Julai lepas, di tiga kediaman yang disewa mereka di sekitar Port Dickson, Mambau dan Puchong, Selangor.

Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Mohamad Mat Yusop berkata sindiket ini ditumpaskan hasil siasatan ke atas satu laporan yang dibuat seorang mangsa pada 19 Jan lepas, selepas ditipu anggota sindiket yang menjanjikan tawaran bekerja sebagai juruterbang dengan melibatkan kerugian sebanyak RM27,260.

Katanya mangsa seorang lelaki berusia 38 tahun telah dijanjikan tawaran bekerja dengan syarikat penerbangan kebangsaan Malaysia Airlines oleh seorang lelaki yang dikenalinya di laman sosial Facebook, pada Disember 2018 lepas.
"Mangsa telah berkenalan dengan individu bernama Oliver Cheng Li yang telah perkenalkan dirinya sebagai warganegara Singapura dan bekerja sebagai juruterbang di Vietnam Airlines, suspek tawarkan pekerjaan juruterbang kepada mangsa dan perlu hadiri temuduga.

"Pada 18 Jan lepas, mangsa telah memasukkan wang dalam tiga akaun atas penama yang berbeza selepas diminta berbuat demikian oleh suspek, mangsa hanya sedar ditipu selepas gagal menemui suspek di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur," katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata hasil siasatan ke atas penama tiga akaun yang terlibat itu, polis berjaya menahan salah seorang pemilik akaun tersebut iaitu seorang wanita warga tempatan berusia 54 tahun, yang telah dijadikan sebagai keldai oleh anggota sindiket Love Scam untuk menggunakan namanya bagi sebarang transaksi.

"Suspek wanita ini telah ditahan pada 2 Julai lepas dan telah dituduh dimahkamah semalam mengikut Seksyen Seksyen 424 Kanun Keseksaan kerana kesalahan memberi pinjam kad ATM, dia mengaku salah dan didenda RM10,000.

"Kita percaya wanita ini merupakan kekasih kepada salah seorang anggota sindiket Love Scam yang telah kita tahan ini," katanya.

Mengulas mengenai tangkapan 15 suspek warga Afrika ini, Mohamad berkata empat daripadanya tidak memiliki passport, sembilan miliki pas lawatan sosial dan dua pemegang pas pelajar dari sebuah kolej swasta di sini.

"Love Scam ini sebenarnya bukan hanya melibatkan percintaan tetapi tawaran bekerja seperti ini juga melibatkan sindiket Love Scam. Sebanyak 33 kertas siasatan telah dibuka melibatkan sindiket ini sejak 2017 hingga Mei 2019 melibatkan 14 akaun bank.

"Kesemua suspek kini ditahan reman selama 14 hari untuk siasatan lanjut," katanya.

--BERNAMA

Tag: love scam, warga afrika, polis, pdrm, sindiket penipuan, jenayah, negeri sembilan, selangor, serbuan polis


Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.