Dua lelaki termasuk seorang anggota polis didenda RM1,000 atau tiga bulan penjara oleh Mahkamah Majistret Seri Manjung, pada Rabu selepas mengaku bersalah atas tuduhan melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Isnin lalu.

Tertuduh, Koperal Mohamad Safarrudin Alias, 33 tahun, dan nelayan, Nashrull Awang, 43 tahun, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan terhadap mereka di hadapan Majistret Nur Shaqira Ibrahim.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh masing-masing didapati bergerak dari satu tempat yang lain, iaitu dari Berek Polis Balai Kampung Rapat, Ipoh dan 178-B Lorong Bahagia Kampung Serdang, Sitiawan ke suatu tempat yang lain, iaitu di Jalan Besar Lumut Kiri, Sitiawan, yang merupakan lokasi jangkitan COVID-19.

Mereka didakwa melakukan suatu kesalahan di bawah Peraturan 3(1), Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam kawasan tempatan jangkitan) 2020 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda sehingga RM1,000 atau kedua-duanya sekali.

Kedua-dua mereka didakwa melakukan perbuatan itu di Jalan Besar Lumut Kiri, Sitiawan, jam 4.15 pagi, 23 Mac lalu.

Di mahkamah sama, Mohamad Safarrudin turut didakwa memiliki peralatan pecah rumah seperti pengikis, pemotong besi, kuku kambing, playar ragum dan pisau serbaguna dalam beg sandang yang digalasnya di lokasi, masa dan tarikh yang sama.

Bagi pertuduhan itu, dia dituduh mengikut Seksyen 28 (i) Akta Kesalahan-kesalahan Kecil 1955 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum denda maksimum RM250 atau penjara maksimum enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Bagi kesalahan berkenaan, tertuduh didenda RM250 atau penjara seminggu sekiranya gagal membayar denda.

Sementara itu, Nashrull pula turut didakwa memiliki sarang burung walit dengan berat anggaran 415 gram di lokasi, masa dan tarikh yang sama.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 28(1) Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 yang boleh dihukum denda maksimum RM1,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya sekali.

Dia didenda RM600 atau penjara sebulan sekiranya gagal bayar denda bagi pertuduhan itu.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Fatin Farahiyah Nadzri manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.