Polis Pulau Pinang telah melengkapkan kertas siasatan berhubung kes Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali yang menggelar Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar sebagai 'barua UMNO' dalam ceramahnya semasa Pilihan Raya Kecil Parlimen Permatang Pauh, Mei lepas.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata sama ada kes itu akan didakwa di mahkamah atau sebaliknya ia bergantung kepada arahan daripada Ketua Unit Perundangan (KUP).

"Polis Pulau Pinang telah melengkapkan kertas siasatan kes berkenaan dan kami meminta bantuan D5 (pendakwaan/undang-undang) Bukit Aman untuk merekodkan keterangan Menteri Besar Selangor itu," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas Majlis Berbuka Puasa Komuniti dan Warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) Pulau Pinang, di sini malam tadi.

Mohamed Azmin didakwa menggelar Khalid sebagai 'barua UMNO' dalam ceramah semasa berkempen pada pilihan raya kecil berkenaan.