Polis DiRaja Malaysia (PDRM) bersedia sepenuhnya menghadapi sebarang ancaman atau serangan yang mungkin dirancang kumpulan militan sewaktu sambutan Hari Malaysia, 16 September ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, berkata pihaknya akan meningkat kesiapsiagaan di seluruh negara bagi menghadapi sebarang ancaman baik dari Daish atau mana-mana kumpulan pengganas sekalipun.

"Bukan sahaja di Pulau Pinang, menjelang Hari Malaysia ini, kita di seluruh negara akan mempertingkatkan kesiapsiagaan kita terhadap apa jua ancaman.

"Tidak kira sama ada daripada Daish dan juga mana mana pihak yang cuba menggugat pelancaran majlis perayaan Hari Malaysia yang akan diadakan di Bintulu," katanya selepas menghadiri majlis korban di Masjid Bukit Aman, di sini hari ini.

Tambah Tan Sri Khalid, anggota polis akan diletakkan dalam keadaan bersiap siaga sewaktu sambutan Hari Malaysia nanti.

Awal minggu ini, Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Abdullah memberi amaran kemungkinan berlaku serangan kumpulan militan pada Hari Malaysia.

Pada malam ambang Hari Merdeka lalu, polis mengagalkan cubaan serangan di pusat hiburan, kuil Hindu di Batu Caves serta balai polis menggunakan bom dan senjata api.

Tiga suspek militan yang ditahan sebelum sambutan kini telah didakwa.

Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Counter Terrorism, Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Maidin Pitchay pada Ogos lalu mendedahkan laporan perisikan menunjukkan kumpulan pengganas di Malaysia mungkin masih memiliki lapan lagi bom seumpamanya.

ends/