Sebanyak 105 laporan polis berkaitan politik telah diterima oleh Polis Pulau Pinang sejak Parlimen dibubarkan pada 7 April lalu.

Ketua Polis Negeri, Datuk A Thaiveegan berkata, daripada jumlah itu, hanya sembilan laporan sedang disiasat termasuk satu laporan membabitkan Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM).

Menurut Thaiveegan, 105 laporan yang diterima adalah daripada 588 aktiviti politik yang telah direkodkan di Pulau Pinang.

Setakat ini kita mencatatkan di Pulau Pinang sebanyak 588 aktiviti politik yang telah dicatatkan dan dalam itu, 105 laporan polis telah dibuat sehingga tengah malam tadi.

"Polis juga telah melakukan siasatan ke atas sembilan laporan polis, jadi ini menunjukkan satu keadaan yang baik, positif dan masih di tahap yang terkawal. Saya percaya dan harap keadaan terkawal ini akan berterusan sehingga tamatnya PRU14," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis (IPK) Kontibjen Pulau Pinang pada Jumaat.

Menurut Thaiveegan, hampir 3,000 anggota polis akan ditugaskan di lima daerah di negeri itu sempena hari penamaan calon Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), esok.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan semua pihak agar menghormati peraturan yang telah ditetapkan dan tidak membuat sebarang provokasi sehingga boleh menimbulkan kekacauan.

Dalam pada itu, Thaiveegan turut mengingatkan semua pihak yang ingin melakukan aktiviti politik agar memohon permit daripada ketua polis daerah masing-masing terlebih dahulu bagi membolehkan polis melakukan persediaan secukupnya termasuk memantau keadaan.