Polis menumpaskan sindiket penyeludupan dengan merampas pelbagai jenis dadah seberat 112.7 kilogram (kg) bernilai RM7.2 juta yang antaranya disembunyikan dalam bungkusan teh Cina, di Port Dickson, di sini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Datuk Ramli Din berkata rampasan itu susulan empat serbuan bersepadu yang dijalankan bersama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dari 9 Mei hingga 14 Mei lepas di Negeri Sembilan, Melaka dan Selangor.

Beliau berkata polis turut menahan seramai tujuh lelaki anggota sindiket itu termasuk tiga warga Indonesia berusia lingkungan 24 hingga 44 tahun.

"Berdasarkan tangkapan ini, pihak polis berjaya menemui dadah jenis syabu, pil ekstasi dan ganja di kawasan semak di tepi laut berhampiran Marina Bay, Port Dickson. Dadah ini disimpan di dalam tujuh guni dan ia dibungkus dengan beberapa helai bungkusan termasuk bungkusan teh Cina.

"Jumlah keseluruhan syabu yang dirampas seberat 80.87 kg, 31.88 kg pil ekstasi yang dianggarkan sebanyak 106,267 biji manakala ganja seberat satu gram sekali gus menjadi rampasan terbesar di Negeri Sembilan bagi tahun ini," katanya dalam sidang media di sini, pada Isnin.

Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah Operasi APMM Laksamana Madya Maritim Datuk Ibrahim Mohamed.

Mengulas lanjut, Ramli berkata pihaknya percaya dadah ini untuk diseludup ke Indonesia disebabkan harganya lebih mahal jika dijual di negara jiran.

"Dadah yang dirampas ini dianggarkan untuk kegunaan seramai 510,612 penagih. Kita juga percaya ini bukan kali pertama sindiket ini jalankan kegiatan penyeludupan menggunakan jalan laut dan siasatan lanjut akan dijalankan bagi mendapatkan maklumat mengenai modus operandi mereka," katanya.

Ramli berkata polis turut menyita empat buah kereta, sebuah bot gentian kaca bersama enjin, tujuh keping emas dan wang tunai dengan nilai keseluruhan sitaan sebanyak RM164,045.00.

Katanya tiga daripada suspek mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan jenayah dan hasil saringan awal ujian air kencing mendapati empat daripada suspek positif dadah jenis methamphetamine.

"Kesemua tangkapan direman selama tujuh hari hingga 21 Mei mengikut Seksyen 38B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

- BERNAMA