Polis kini giat memburu seorang lagi ahli kumpulan yang dipercayai terlibat dalam beberapa kes rompakan dan penculikan di kawasan perairan Kunak dan Lahad Datu pada tiga tahun lalu.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Ramli Din berkata, usaha memburu suspek itu adalah susulan kejayaan pihaknya menembak mati Abu Paliyak atau dikenali sebagai Komander Paliyak atau Yusuf, 31, di kawasan perairan Pulau Kantong Kalongan, di Lahad Datu, jam 3 pagi, semalam.

Beliau berkata, suspek bersama Abu Paliyak bersama sembilan lagi ahli menganggotai Kumpulan Remy yang terkenal sebagai kumpulan penculik untuk tebusan (KFR).

"Kumpulan ini ada 11 ahli, empat telah ditembak mati pasukan keselamatan Filipina, seorang (ditembak mati) oleh pasukan keselamatan kita, semalam, dan lima lagi telah ditahan penguat kuasa Filipina.

"Sementara itu, seorang lagi masih bebas dan kini dipercayai berada di selatan Filipina namun sesekali memasuki perairan Sabah.

"Peranan individu yang diburu ini sama iaitu terlibat melakukan rompakan dan penculikan untuk tebusan dan mereka ini aktif di sekitar tahun 2014 hingga pertengahan tahun hujung 2015," katanya.

Ramli berkata demikian kepada pemberita dalam sidang media selepas merasmikan Inisiatif Pesara Polis Sabah sebagai Pemimpin Keselamatan Kejiranan di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Sabah, Kota Kinabalu, hari ini.

Hadir sama adalah Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Datuk Salehhudin Abdul Rahman.

Mengulas lanjut, Ramli berkata, pihaknya kini akan berkerjasama rapat dengan pasukan keselamatan di Filipina bagi mengesan suspek yang terlibat.

Tambah beliau, kumpulan terbabit kini hampir lumpuh kerana hampir semua ahli sudah ditangkap dan ditembak mati pasukan keselamatan.

Jelasnya, Polis Sabah sentiasa bertukar maklumat dengan pasukan keselamatan di antara dua negara iaitu Filipina dan Indonesia bagi memastikan keselamatan perairan negara ini terus terjamin.