Polis Sabah akan menyiasat tindakan seorang pegawai polis yang merotan lima remaja lelaki kerana didapati ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di daerah Kunak, pada Rabu.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Mazli Mazlan berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian itu dan mengesahkan tiada laporan dibuat setakat ini.

Bagaimanapun, polis akan melakukan siasatan dalaman terhadap pegawai berkenaan.

"Berdasarkan maklumat awal, pegawai tersebut dipercayai telah memberi arahan kepada sekumpulan remaja dari kampung bersebelahan yang sedang lepak di kawasan itu untuk bersurai.

"Bagaimanapun, sebaik pegawai terbabit kembali selepas membuat rondaan di lokasi berasingan, didapati kumpulan remaja itu masih berada di tempat yang sama dan sekali lagi arahan dikeluarkan untuk beredar.

"Kumpulan remaja itu bagaimanapun enggan mengendahkan malah ketawa," katanya.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi sebentar tadi.

Terdahulu, sebuah video berdurasikan 26 saat berhubung kejadian itu tular di laman sosial sejak petang tadi.

Di dalam video berkenaan, seorang pegawai polis dikatakan merotan lima remaja dengan menggunakan sebatang ranting kayu selepas dipercayai kerana degil dan enggan akur arahan pihak berkuasa bersurai di lokasi terbabit.

Kejadian itu difahamkan berlaku di Kampung Panji, Kunak berdasarkan papan tanda yang terdapat dalam video tular berkenaan.

Sementara itu, Mazli mendedahkan, kelima-lima remaja yang terlibat dalam video tersebut dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.