Pesuruhjaya polis Sabah, Datuk Hamza Taib hari ini menolak laporan yang mengatakan bahawa pengganas Sulu kini telah berkumpul semula di Lahad Datu, Sabah.

The Philippine Star telah melaporkan, seramai 135 daripada tentera Azimuddie Kiram telah berkumpul semula dan dibantu oleh kira-kita 100 lagi individu bersenjata dari Sulu dan Tawi-Tawi.

Dakwaan tersebut telah dibuat oleh jurucakap Jamalul Kiram III, iaitu Abraham Idjirani semalam.

Hamza ketika dihubungi Astro Awani menolak dakwaan tersebut kerana menurut beliau, jumlah pengganas yang ada sekarang telah kurang dari sepuluh.

“Tak ada... sebab jumlah mereka yang ada pun dah kurang dari sepuluh. Ini salah satu cara untuk mereka hendak melemahkan pasukan (keselamatan negara) kita,” kata beliau.

Hamza bagaimanapun memberitahu mereka akan tetap bersiap sedia untuk menghadapi apa jua situasi.

Laporan The Philippine Star melalui Idjirani itu juga mendakwa telah terdengar bunyi tembakan pada waktu malam. Namun katanya, tembakan itu tidak ditujukan kepada tentera Azimuddie.

Sejak Ops Daulat dijalankan lebih sebulan lalu, pasukan keselamatan negara telah menembak mati 68 pengganas Sulu, menahan 443 individu atas pelbagai kesalahan dan 121 lagi di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma).