Warga Universiti Perubatan Antarabangsa (IMU) diarah supaya mengosongkan bangunan selepas institusi itu di Bukit Jalil menerima panggilan ancaman bom sekitar jam 2 petang Jumaat.

Polis menerima maklum insiden berkenaan dan bergegas ke lokasi untuk langkah susulan mengikut prosedur operasi standard (SOP) bermula dengan menutup jalan berhampiran pintu masuk universiti.

Menurut pengurusan universiti, pemeriksaan polis mengambil masa sekitar tiga jam sebelum mengesahkan bahawa keadaan bangunan selamat dan membenarkan warga universiti masuk untuk mengambil barangan mereka.

Bagaimanapun, pelajar mahupun staf tidak digalakkan berada dalam kawasan universiti sebagai langkah keselamatan.

Majlis Perwakilan Pelajar IMU menerusi kenyataan di Facebook rasmi mereka memaklumkan bahawa semua kelas dan sebarang aktiviti di dalam kawasan universiti hari ini dibatalkan dan kampus akan dibuka semula esok (Sabtu).

Ketika ini, polis masih menyiasat motif ancaman tersebut.