Polis menasihatkan pihak berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) untuk mendapatkan kebenaran Kementerian Kesihatan terlebih dahulu sebelum meneruskan hasrat mengeksport daun ketum.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata satu kajian perlu dibuat tentang kesan daun ketum dari sudut farmaseutikal terlebih dahulu sebelum keputusan lanjut dapat dibuat.

“Sekiranya mereka (RISDA) mendapati daun ketum ada nilai farmaseutikal, mereka perlu mendapatkan kebenaran daripada Kementerian Kesihatan kerana Kementerian Kesihatan sahaja boleh ‘regulate’, tanam candu ke, tanam ketum sebab ia adalah dadah berjadual,” katanya selepas merasmikan Majlis Penutup Persidangan ASEANAPOL ke-36 di sini petang tadi.


Tambahnya, pihak polis berpendapat sebarang keputusan berkaitan kegunaan daun ketum perlu berlandaskan undang-undang.

Selasa lepas, Pengerusi Risda Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata, pihaknya akan mendapatkan kebenaran kerajaan untuk menanam pokok ketum bagi meningkatkan hasil pendapatan pekebun kecil di negara ini.

Ia memandangkan daun ketum mendapat permintaan tinggi daripada farmasi di Amerika Syarikat dan Eropah.