Pihak polis memulakan siasatan posting palsu mengenai wabak rabies Sarawak yang tular susulan laporan dibuat oleh pegawai jawatankuasa pengurusan bencana negeri semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak, Datuk Dev Kumar berkata laporan dibuat di Balai Polis Tebedu, Serian kerana posting itu boleh menyebabkan panik dalam kalangan orang awam.

"Pihak polis menganggap perkara ini serius dan sedang menyiasat laporannya di bawah Seksyen 505(b) Kanun Jenayah dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata individu yang bertanggungjawab mencipta dan menyebar posting palsu itu sedang dikesan akan ditahan untuk disoal siasat.

Mejar Ismail Mahedin daripada Pasukan Pertahanan Awam membuat laporan mengenai posing itu yang mendakwa lebih daripada 20 lokasi di Sarawak telah diwarta sebagai kawasan wabak rabies sedangkan hanya 20 kawasan yang diisytihar sejak semalam.

-- BERNAMA