Polis Sarawak mengesan aktiviti sabung ayam siber, yang menjadi aktiviti terbaharu golongan tahi judi di bandar raya ini.

Aktiviti itu terbongkar apabila satu serbuan dilakukan sekitar jam 8.30 malam semalam oleh sepasukan anggota siasatan jenayah negeri yang diketuai Asisten Superintendan Shuib Abdul Samat terhadap
sebuah premis di tingkat dua, sebuah rumah kedai di Pusat Komersial Hui Sing di Jalan Stampin di sini.

Ketua Siasatan Jenayah Negeri, Datuk Dev Kumar berkata, ketika memasuki premis berkenaan, anggotanya melihat sekumpulan lelaki dan wanita sedang khusyuk dengan aktiviti sabung ayam siber ini, dengan pertarungan sedang berlaku secara langsung dan ditayangkan melalui striming dari luar negara.

"Seramai 12 suspek kaki judi yang berusia di antara 34 dan 64 tahun telah dicekup, termasuk dua wanita dan seorang lelaki dipercayai pengurus premis yang berusia 52 tahun.

"Antara eksibit yang disita termasuklah dua unit komputer riba, satu unit komputer, dua set televisyen, peralatan Wifi dan wang tunai berjumlah RM194.

Pengurus premis kata Dev, telah ditahan reman selama tiga hari sehingga sebutan kes pada 22 Ogos depan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 4B(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.