Polis sedang mengesan seorang suspek bagi membantu siasatan mengenai satu kes bunuh seorang lelaki di hotel Dataran C180, Balakong, Selangor pada 31 Ogos tahun lalu.

Menurut Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd. Yusoff suspek dikenali sebagai Low Meng Kong, 19.

“Suspek dikehendaki bagi menyiasat kes di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan alamat terakhir suspek adalah di Flat Kajang Mewah, Taman Kajang Mewah, Sungai Chua.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh hubungi Pegawai Penyiasat Kes, Asisten Superintendan Ismail Ahmad di talian 019-230 6107 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Pada 1 September tahun lalu seorang lelaki berusia 29 tahun, ditemui mati dalam keadaan mulut berbuih di bilik hotel tersebut.

Mangsa ditemukan dalam keadaan terbaring dan tidak sedarkan diri oleh seorang pekerja hotel di bilik berkenaan dan siasatan awal yang dilakukan tidak menemui sebarang kesan kecederaan pada badan lelaki itu.