Polis sedia menyiasat pihak yang mengibarkan bendera 'Sang Saka Malaya' jika ada laporan dibuat mengenainya, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Berikutan itu, katanya tindakan undang-undang juga boleh dikenakan terhadap kumpulan yang mempertikaikan status Jalur Gemilang.

Mengulas mengenai kumpulan tertentu yang mengibarkan bendera 'Sang Saka Malaya' pada sambutan Ambang Merdeka di Dataran Merdeka pada Jumaat lepas, beliau berkata pihak yang tidak berpuas hati dengan insiden itu juga harus membuat laporan polis.

Katanya sebagai rakyat Malaysia yang mengaku taat setia kepada negara, soal mempertikaikan bendera kebangsaan harus dielakkan.