Seramai 19 warga Myanmar dipercayai mangsa pemerdagangan manusia berjaya diselamatkan polis dalam serbuan di sebuah rumah dua tingkat di Taman Teratai, Mak Mandin, Butterworth.

Dalam serbuan pada jam 11 pagi Ahad itu, polis turut menahan tiga warga Myanmar masing-masing dua lelaki dan seorang wanita yang berperanan sebagai tekong dan penjaga rumah yang menempatkan semua warga Myanmar di kediaman tersebut.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor dalam satu kenyataan memaklumkan polis membuat serbuan selepas mendapat maklumat daripada unit Akta Antipemerdagangan orang dan Antipenyeludupan Migran 2007.

Katanya, hasil risikan menerusi Ops Pintas yang diketuai ASP Mohd Yusof Ibrahim bersama anggota Bahagian Siasatan Jenayah D9 Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara berjaya menggempur lokasi persembunyian sindiket terbabit.

Hasil serbuan tersebut, pihaknya mendapati ke semua migran yang berusia antara 19 hingga 50 tahun itu baru tiba dari Myanmar kira-kira jam 9 pagi sebelum disembunyikan di bahagian bilik atas rumah tersebut.

Kesemua mereka ditemukan dalam keadaan bergelimpangan, tidak terurus dan tidak bermaya.

Noorzainy berkata tiga warganegara Myanmar yang ditahan pula berusia diantara 35 hingga 45 tahun disiasat di bawah Seksyen 26 (A) ATIPSOM.

Manakala 19 mangsa yang diselamatkan itu pula disiasat dibawah Akta Imigresen kerana tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan yang sah.

Difahamkan ke semua migran itu dijanjikan untuk bekerja dinegara ini sebagai pekerja kontrak namun tidak kesampaian apabila mereka ditahan pihak polis.

Polis turut merampas sebuah beg pinggang warna hitam, anak kunci , tiga buah telefon bimbit, beberapa kad ATM, buku nota dan wang tunai berjumlah RM1818.