Unit Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Orang (ATIPSOM), Bukit Aman berjaya menyelamatkan 20 wanita asing dalam satu serbuan di sebuah pusat kesihatan di sini pada Khamis.

Dalam serbuan yang dilakukan kira-kira jam 5.45 petang, polis menyelamatkan 19 warga Myanmar dari bangsa Shan dan seorang wanita Vietnam bawah umur.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, Datuk Gan Tien Kee berkata, bertindak atas maklumat, polis telah membuah serbuan di pusat kesihatan itu, yang terletak di Jalan Kampar.

"Pasukan telah berjaya menyelamatkan 19 (P) warganegara Myanmar bangsa Shan dan (1) (P) Vietnam di bawah umur (17 tahun)," katanya dalam satu kenyataan media di sini.

Menurut beliau, polis turut menahan tiga lelaki yang bekerja di premis tersebut di samping dua pelanggan.

Gan memberitahu, polis turut merampas beberapa barangan seperti wang tunai RM6,670, kondom, walkie talkie, monitor tv, dekoder cctv, talipon bimbit dan remote pintu.