Polis berjaya menahan empat lelaki termasuk seorang warga Taiwan yang merupakan ketua sindiket Macau Scam dalam serbuan di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur dua minggu lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) ACP Fazlisyam Abd Majid berkata ketua sindiket berusia 26 tahun itu ditahan di Kuala Lumpur pada 17 Julai lepas selepas terlibat dengan penipuan seorang doktor membabitkan kerugian sebanyak RM270,000 di Sungai Buloh.

Beliau berkata, penahanan itu adalah susulan soal siasat terhadap tiga lelaki tempatan berusia 24 hingga 32 tahun yang ditahan pada 16 Julai lepas selepas dipercayai terlibat dalam kes berkenaan.

"Hasil siasatan mendapati ketiga-tiga suspek ini mencari akaun bank individu lain dengan membayar RM200 ke RM400 sebagai upah untuk membuka akaun mereka."

"Suspek (warga tempatan) ini juga bertanggungjawab menjual kad ATM individu lain kepada warga Taiwan yang dipercayai datang ke negara ini sebulan sekali bagi mengambil kad yang dijual kepadanya. Akaun bank berkenaan digunakan sebagai medium menerima wang yang ditipu," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini hari ini.

Fazlisyam berkata, pihaknya turut merampas beberapa kad ATM, telefon bimbit dan komputer riba daripada ketiga-tiga suspek warta tempatan itu.

Katanya, kesemua suspek ditahan reman dan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, Fazlisyam berkata, sebanyak 187 kes penipuan atas talian sepanjang tahun 2019 membabitkan lebih RM15 Juta berlaku di negeri ini.

Beliau berkata, sepanjang dua minggu ini, pihaknya sudah mengenal pasti 75 individu yang didapati menggunakan akaun bank mereka untuk tujuan penipuan dan 34 darinya sudah didakwa di mahkamah.

Fazlisyam juga menasihatkan orang ramai supaya tidak menjual atau memberi pinjam akaun bank kepada individu yang tidak dikenali kerana ia adalah satu kesalahan.

--BERNAMA