Sebagai penguat kuasa undang-undang, tugas yang dijalankan perlu dilaksana dengan penuh amanah dan berintegriti pada setiap masa.

Bagi pegawai dan anggota yang dipertanggungjawabkan menjaga keselamatan dan keamanan, mereka merupakan wajah kepada institusi kepolisan dalam memberi khidmat cemerlang kepada masyarakat.

Untuk itu, Polis Selangor menampilkan pendekatan berbeza iaitu melalui video muzik bagi mengingatkan pegawai dan anggotanya agar melaksanakan tanggungjawab tersebut kepada masyarakat.

Ketua Siasatan Jenayah Selangor, SAC Fadzil Ahmat berkata walaupun liriknya ringkas dengan muzik ringan, namun maknanya mendalam bagi warga polis dalam menjalankan tugas memberi khidmat kepada masyarakat.

"Biasanya teguran dibuat secara langsung tetapi kami menggunakan pendekatan yang lebih santai melalui video muzik dengan harapan minda bawah sedar mereka akan mengingati bait-bait lagu yang disampaikan dalam video musik berkenaan.

"Video ringkas ini telah dihasilkan sejak minggu lalu di mana lirik lagu ini telah diubah menerusi lagu asal ‘Aku Budak Kampung’ nyanyian Ramsa,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.

Katanya, idea untuk menggunakan pendekatan berbeza itu dicetuskan sendiri oleh Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor untuk ditayangkan pada program Selangor Cops Got Talent dan Perkepfest yang berlangsung Selasa lalu.


Lirik "Aku Memang Polis"
----------------------
Kita ini kerja jadi polis
Betul cakap kita memang polis
Sendiri mahu kerja tiada siapa paksa
Memang kita suka.

Dulunya panggil mata-mata
Sekarang panggil polis saja
Kerja demi negara tidak mengira masa
Memang kita suka.

Bila kerja jangan suka menengking
Buat perangai macam orang samseng
pantang lepa kau mula memonteng
Nanti KP boleh jadi pening.

Masa kerja jangan suka membohong
Nanti kau boleh kena lambung
kemas barang masuk dalam tong
Balik kampung engkau tanam jagung.

Ingatlah wahai kita semua
Kita kerja untuk keluarga
Integriti dijaga
Maruah jangan dilupa
Semoga hidup bahagia.