Polis telah berjaya menumpaskan kegiatan pengedaran dadah di sekitar ibu negara yang didalangi warga tempatan dan warga asing.

Ia hasil serbuan dilakukan Polis Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul di sebuah kedai di Jalan Ipoh, petang semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sentul, Supt Mohamad Rafiq Mustafa berkata, dalam serbuan itu dua lelaki tempatan dan masing-masing seorang lelaki warga Sri Lanka dan seorang wanita warga India ditahan.

“Kejayaan dan tangkapan hasil daripada maklumat kerjasama orang awam dan juga risikan tindakan bahagian narkotik.

“Dalam rampasan kali ini, dadah heroin yang dirampas adalah dalam bentuk kiub, berbeza daripada sebelum ini di mana ia dalam ketulan dan kristal,” kata Mohd Rafiq.

Hasil pemeriksaan polis menemui dadah jenis heroin dan syabu bernilai hampir RM5,000.

Hasil ujian air kencing mendapati kesemua suspek positif mengambil dadah.

Kesemua mereka disiasat dibawa seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.