Polis menyiasat laporan media berpangkalan di United Kingdom mengenai kegiatan penjualan organ manusia secara haram didalangi warga tempatan di Kuching.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Aidi Ismail berkata, pihaknya sedang meneliti kes berkenaan termasuk mengenal pasti individu yang dipaparkan dalam laporan berbentuk penyiasatan itu.

"Kita sedang menjalankan siasatan lanjut," katanya ringkas kepada Astro AWANI di sini, hari ini.

Dalam laporan portal The Sun Sabtu lalu, wartawan asing yang menyamar mendedahkan pertemuannya dengan seorang lelaki berusia 46 tahun di sebuah hotel di Kuching.

Lelaki itu dikatakan menawarkan penjualan buah pinggang dengan pakej pelancongan pemindahan organ berharga £85,000 atau RM466,440 secara haram khas untuk warga Britain.

Lelaki berkenaan mendakwa bayaran berkenaan merangkumi sejumlah wang untuk tujuan rasuah pihak berkuasa supaya pembedahan boleh dilakukan di sebuah klinik di Manila.

Dia mendakwa sudah menjual 45 buah pinggang dengan mengiklankannya di laman facebook, selain menggunakan media sosial itu bagi membuat tawaran pembelian organ daripada individu yang terdesak untuk mendapatkan wang dari seluruh dunia.

Sementara itu, Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak, Datuk Abdul Rahman Karim Hamzah menggesa siasatan segera dilakukan oleh pihak berkuasa.

Katanya, laporan tersebut melibatkan jenayah berat dan kesahihan kes itu perlu disahkan.

"Jika benar, pasti ada undang-undang dalam negara (yang boleh dikenakan terhadap suspek) di mana ia melibatkan pengakuan secara terbuka oleh pelaku.

"Dia (juga sebenarnya) mungkin seorang yang kurang siuman yang mengaku menjual organ. (Apa pun) dia (mengaku) adalah orang tengah kepada mereka yang ingin menjual organ untuk duit," katanya di sini, hari ini.