Polis akan menjalankan siasatan berhubung kemungkinan pembabitan 'orang dalam' syarikat kawalan keselamatan dengan kegiatan kongsi gelap dalam kes serangan terhadap pondok keselamatan di Klang, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Beliau berkata polis yakin terdapat unsur gangsterisme berhubung kes seorang pengawal keselamatan maut manakala enam lagi cedera selepas tiga pondok keselamatan di sebuah kawasan perumahan di Bandar Bukit Raja, Klang itu diserang sekumpulan individu, Sabtu lepas.

"Biar polis jalankan siasatan. Saya tidak percaya syarikat keselamatan itu terlibat dengan kongsi gelap sebaliknya saya percaya ada orang-orang yang bekerja di syarikat keselamatan yang menggunakan taktik sebegini," katanya kepada pemberita selepas majlis Pelancaran Program Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) untuk warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) di sini, hari ini.

Khalid menegaskan polis tidak akan sekali-kali berkompromi dengan isu berkaitan keganasan oleh kumpulan-kumpulan haram khususnya di kawasan berkenaan.

Saya tidak percaya syarikat keselamatan itu terlibat dengan kongsi gelap sebaliknya saya percaya ada orang-orang yang bekerja di syarikat keselamatan yang menggunakan taktik sebegini.

"Operasi Cantas Khas akan diteruskan dan dipertingkatkan dalam mengawal perkara ini.

"Saya seru kepada masyarakat untuk melaporkan sebarang kegiatan berunsur gangsterisme kepada polis," katanya.

Dalam kejadian pukul 1.45 pagi itu, seorang pengawal keselamatan terbunuh manakala enam lagi cedera selepas tiga pondok keselamatan di sebuah kawasan perumahan diserang oleh sekumpulan individu.

Dalam perkembangan lain, Khalid berkata tiada unsur jenayah berhubung isu menurunkan simbol salib di sebuah gereja di Taman Medan, baru-baru ini.

"Salib itu diturunkan atas permintaan masyarakat dan telah dipersetujui pastor (gereja itu) dan tiada kekerasan digunakan semasa menurunkan salib berkenaan.

"Kerajaan tempatan dan kerajaan negeri tidak boleh lepas tangan dalam menyelesaikan isu ini termasuk wakil rakyat di kawasan berkenaan," katanya.

Khalid turut menegaskan pihak polis tidak akan bersifat berat sebelah dalam menguatkuasa undang-undang sekiranya terdapat sebarang perkara yang melanggar undang-undang.

"Saya juga telah semak tentang kehadiran abang saya di tempat itu dan berdasarkan maklumat daripada pegawai saya, dia sebagai ketua masyarakat di kawasan berkenaan bertanggungjawab untuk tenangkan orang ramai daripada menjadi agresif ... dan itu peranan dia.

"Perlu saya jelaskan jika terdapat perkara yang melanggar undang-undang kami akan ambil tindakan undang-undang tanpa berpihak kepada mana-mana pihak meskipun ia melibatkan adik-beradik atau anak saya sebab dah jadi kewajiban kami sebagai penguat kuasa untuk ambil tindakan tanpa tolak ansur," katanya.

Khalid turut menegaskan kejadian itu, hanyalah merupakan 'flash mob' yang dijalankan penduduk tanpa perancangan mana-mana pihak dan tiada kaitan dengan isu agama.